Waktu Salat

Khamis, 12 Februari 2009

Peri Masa Dari Satu Sisinya

Rasanya aku bukan orang yang layak untuk berbicara mengenai masa kerana akupun pantas saja menjadi insan yang dikenakan hujah masa. Hujah ini menyimpulkan bahawa manusia itu dalam keadaan yang rugi kecuali beberapa golongan yang terkecuali. Walau bagaimanapun aku tidak berhasrat untuk berperi tentang masa dan kepentingannya tetapi sebaliknya berkenaan satu sisi lain masa yang bisa aku timbulkan perinya.

Adapun masa sering saja berlalu tanpa ada kesedaran yang total dalam diri kita mengenai soal masa itu melainkan apabila ada sesuatu yang signifikan berlaku dalam tempoh itu. Namun, sering saja signifikasinya dihayati cuma selepas ia berlalu dan tak bisa diulang kembali. Misalnya, apabila tua telah menjelang, pengalaman yang membuatkan kita lebih berfikir dan berhitung tentang erti dan tujuan perilaku dalam kehidupan menimbulkan pula sesal disebabkan masamuda yang terbuang begitu saja.

Sebagai seorang hamba, penghayatan aku terhadap apa yang sedang berlaku itu minimal, apatah lagi pemahaman tentang kemungkinan sesuatu yang akan berlaku. Aku cuma tergolong dalam golongan insan ketiga (meskipun hanya kadangkala) yang menghitung hari-hari yang berlalu. Dalam timbunan ingatan tentang waktu yang lalu, mungkin saja timbul suatu ilham untuk menerka peri masa yang paling berharga.

Kalau diikutkan hati insan, pengalaman yang manis itulah yang sering tampil menerpa di lubukrasa. Kadangkala hasil cetusan fikiran ini adalah puisi-puisi kenangan ketika zaman muda, dunia yang penuh dengan kenangan dan peraduan, kerana kita tak begitu mengerti dan menghayati. Di samping itu, ingin saja aku buang hapuskan ingatan keadaan yang tersisa tentang suatu derita yang melarakan jiwa atau melukakan rasa.

Ranjau dan onak yang ditempuh itu sebenarnya yang memaknakan hidup kita, menjadikan kita lebih mesra dan satu dengan alam, inilah pengalaman yang timbul untuk kita mengenal alam, sebati dengan alam, dan menjadi alam. Kejadian ini juga yang menumbuhkan kesedaran kerana waktu senang itu membuatkan kita lupa. Inipun suatu tanggapan mengenai masa, yakni suatu yang kita senangi tak semesti baik buat kita dan suatu yang kita hindari tak sepantasnya buruk.

Bukan sentiasa, kita sedar dan ingat akan Pencipta kita Yang Utama, lebih-lebih lagi dalam keadaan lupa, pada masa senggang dan senang. Kepahitan peristiwa yang terperi tadi yang mencetuskan semula deria berTuhan. Waktu inilah masa diri kita paling hampir dengan-Nya. Pada waktu inilah, Cinta saja yang menjadi Rindu kita. Waktu inilah juga, masa yang paling bermakna antara masabanyak yang serasa senang tetapi kurang erti atau kosong makna. Pada masa ini, hati kita cuma mengharapkan Yang Terakhir, cuma Asa. Tiada lagi pergantungan terhadap yang lain. Inilah masa yang sebenar, puncak kerinduan dan kecintaan kepada Nur Pertama.

Perhitungan tentang hidupmati adalah suatu yang berguna. Kalaupun kita tak berkira-kira akannya, neraca akan menghisab kita. Waktu mengingati Tuhan adalah hidup dalam pada masaalpa adalah mati. Sesungguhnya Allah Yang Mengetahui, Memahami walhal kita ini tak mengerti. Wallahu a’lamu bis-sawab. Subhanallahi wabihamdiHi nashhadu an la ilaha illa Huwa nastaghfiruHu wanatubu ilayh.

Sabtu, 17 Januari 2009

Duhai Bonda

Album : Wahyu Pertama
Munshid : NowSeeHeart

Bagai kerdipan lilin yang berkilau, bercahaya
Menggantikan mentari terangi malam nan gelita
Membakar diri memberikan cahaya
Membiar diri musnah terlebur
Berkorban segalanya penuh rela

Biar dimamah arus usia
Tidak pernah kenal derita
Bagai sungai kasih yang mengalir
Tiada penghentiannya, tak bertebing

Duhai ibunda kaulah anugerah istimewa
Berkorban jiwa raga redahi hidup nan mencabar
Berusaha dan sabar dalam mengharungi derita
Hidupmu penuh ranjau meniti kepayahan yang tiada kesudahan

Tidak sekali mengharapkan dibalasi permata
Cukup engkau rasa bahagia
Lihat anakmu berjaya
Kau penawar hati duka
Walau hatimu terluka
Engkau ibu engkaulah bapa
Pabila ayah tiada

Hanya Tuhan saja yang dapat membalas jasamu
Kerana Tuhan saja yang tahu penderitaanmu
Wahai bonda

Pesimisme

Apabila berbicara mengenai peridiri, aku rasa bukanlah ada sesuatu yang luar biasa dengan keadaan diri ini, malahan kadangkala (ataupun selalu juga) aku sentiasa merasakan kekurangan sesuatu apabila aku membandingkan soal diri dengan soal insan yang lain, bahkan makhluk yang lain yang turut sama diam di atas tanah ini. Pada dasarnya, dan pada perasaan aku yang biasa (bahawa diri kurang betulnya) tingkah, karakter sebegini melambangkan unsur yang negatif. Sepatutnya seseorang insan yang ingin maju dan mempunyai motivasi yang membina sentiasa berfikiran positif dan meskipun diri belum pada tahap yang bisa dikatakan paling baik tetapi apa jua pekerjaan, bebanan akan sedaya dilaksana untuk menambahkan suatu pengalaman yang berharga.

Orang yang mempunyai pemikiran seperti aku mungkin saja pantas dikatakan seorang yang pengecut dan mahu melarikan diri daripada situasi yang menjengkelkan (dalam ertikata memerlukan daya fikir dan laku yang kritikal). Oleh sebab itu, aku masih mencuba, contohnya dalam isu perpuisian. Daripada awal lagi aku sudah melabelkan diri aku sendiri sebagai seorang penyair jawi yang masih mentah. Gambaran seperti ini mungkin, aku timbulkan kerana tidak mahu orang ramai membaca karyaku kerana tidak sanggup menerima kritikan. Walau bagaimanapun, aku masih lagi terus menulis puisi kerana puisi itu suatu yang indah lalu aku akan terus cuba menghasilkan sesuatu yang pantas dikatakan indah.

Tatkala berlalu di tepi jalan kadangkala berselisih dengan haiwan seperti kucing, dan aku pula seorang yang suka berfikir di dalam hati, berangan (pernah pula suatu ketika aku nyatakan hobi aku adalah berfikir, mungkin berangan sahaja pada hakikatnya) dan bermonolog dalam diri (inipun salah satu hal yang sering aku mainkan dalam kotak fikiran : aku akan menjadi dua karakter yang bertengkar sesama sendiri mengenai sesuatu dan biasanya aku akan bertengking dalam diri: lalu hasilnya pesimisme yang menebal dalam diri). "Kucing ini dalam setiap gerak nalurinya berlandaskan fitrah Ilahi, padahal aku selalu saja tergelincir daripada menurut fitrah insani, astaghfirullah."

Wallahu a'lam. Kadangkala aku rasa aku memang patut buruk sangka terhadap diri dan berbaik sangka pula terhadap orang lain. Optimisme terhadap sesiapa saja termasuk diri sendiri itu rasanya yang sebenar-benarnya. Disebabkan aku hina aku patut berlaku seperti orang mulia untuk membaikkan diri dan kerana itu baik-sangka yang patut ada. Aku menghasilkan tulisan ini dengan ragu-ragu kerana pesimisme lalu subhanalllahi wabihamdiHi nashhadu an la ilaha illa Huwa nastaghfiruHu wanatubu ilayh. (Buruk sangka sudah dalam nama buruk, baik sangka dari kata sudah baik).

(Mungkin perkataan ini sukar difahami, ataupun berat tetapi aku kurang pandai untuk berbicara mengenai sesuatu dengan mudah dan ringkas dalam blog ini)

Daripada Sahabat-Kerana Sahabat-Untuk Sahabat

Menjunjung

menjunjung suatu maksud
persahabatan yang lebih
dari sekadar berkawan.

menjunjung suatu makna
perkenalan yang lebih
dari sekadar mengetahui nama.

menjunjung suatu erti
pertemuan yang lebih
dari sekadar berselisih.

menjunjung
ukhuwwah
mahabbah
liqa' penyudah
insan bertemu Ilah!

Bukit Gambir, Muar,
2007.

Ahad, 28 Disember 2008

Kenang-Kenang Pertama

Sesekali, teringat juga waktu aku mula mengikuti dunia puisi ini. Pada dasarnya akupun kurang mengerti apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan sajak. Malu juga apabila membaca sajak-sajak percuma yang dahulunya aku hasilkan. Aku selalu menganggap sajak itu luahan rasa seseorang akan apa yang berlaku di sekitarnya, dan imejan-imejan yang aku selalu lihat dalam hati ini berlatarkan waktu hujan, mungkin kerana aku seorang yang lebih suka mendiamkan rasa dan bersedih-sedih kerananya. Malahan sajakku yang pertama tersiar (juga satu-satunya yang tersiar di majalah atau surat khabar) juga entah mengapa dimulakan dengan bait sebegini:

Tika gerimis
Rumah pusaka
Mengimbau nostalgia

Rasanya itulah tanggapan pertama dan pemahaman aku yang pertama tentang sajak. Kata-kata yang terbit dari hati yang terkenang sesuatu, layanan emosi dan sebagainya. Peredaran masa bersama pengalaman dan pembacaan yang taklah seberapa, sedikit sebanyak mengajarku untuk menjadi lebih berhati-hati. Aku bukanlah pencipta sesuatu karya yang cermat, tetapi aku gopoh dan mahu cepat, lalu seringkali puisi yang tercipta hanyalah bait-bait biasa, ringan dan jimat. Lalu hingga kinipun aku lebih suka menghasilkan sajak yang pendek.

Suatu masa aku pernah menjadi seorang yang gila bersajak (bukan menghasilkan sajak tapi dalam erti kata perasan bersajak), lalu setiap hari, dalam dua atau tiga sajak yang terhasil dan biasanya temanya tidaklah berbeza dan menarik. Di samping itu, aku juga memasukkan kata-kata yang pelik, kononnya bisa menjadi penarik. Dalam waktu yang sama, kelemahan yang amat nyata tampak ketara kerana aku cuba menyelitkan unsur-unsur keagamaan dalam hampir semua puisi-puisi tersebut, aku juga cuba menimbulkan suatu persoalan tentang isu yang besar dan berat. Tetapi untuk seorang amatur yang masih kurang alimnya dalam perpuisian ini, perkara-perkara ini belum cair dan hasilnya puisi yang kaku bertambah lagi kekakuannya.

Pada masa inipun aku masih juga seorang yang belum matang berpuisi namun adalah harapan aku untuk cuba membaiki diri. Kepada mereka yang cuba-cuba berpuisi, langkah berpuisi memerlukan kesabaran dan ketelitian. Akupun masih baru dalam dunia ini, masih banyak ilmu yang perlu ditimba. Pembacaan itu penting lagi-lagi sajak mereka yang sudah terbukti wibawanya dalam perpuisian, dan aku rasa mengkaji kelemahan sajak itu juga bisa meningkatkan kemahiran (aku rasa saudara Ielia setuju dengan pendapat ini). Wallahu a'lamu bis-sawab. SubahanaHullahumma wabihamdiHi nashhadu an la ilaha illa Huwa nastaghfiruHu wanatubu ilayh.

Sabtu, 27 Disember 2008

Cubaan-Semula Melafazkan Kata

Semula

setelah beberapa purnama
mati semangat berbicara
saudara tampil menyapa
timbul ilham dari lubukrasa
dan semula, aku ke muka:
berperi, berpuisi bersahaja
harap dan anganan kita
inipun demi kurnia utama:
Kasih, Cinta Saksama.

Seksyen 14, Petaling Jaya,
30 Dhu al-Hijjah, 1429H.

Semula, Menulis

Sudah lama, semenjak kali yang terakhir aku meluahkan sedikit bicara rasa dalam blog ini. Ada juga saudara yang menyapa, mengapa aku tak lagi memenuhkan blog ini dengan artikel yang baru. Selama aku tidak menulis itu, aku rasa itu adalah period 'kematian' buat diri, kerana sudah hilang semangat dan nyawa buat membuahkan benih fikiran yang baru dan segar. Pula dalam masa tersebut aku menghabiskan masa dengan dunia lalu aku rasakan aku makin kurang wibawa untuk berbicara seperti seorang yang hidup, sedar dan celik.

Agak baru juga, puisi saudara Thaqif Ielia tersiar buat kali yang kedua dalam Dewan Siswa Disember, dengan tajuk yang sama cuma diberikan nafas yang lebih segar dan nampaknya saudara Faisal Tehrani memberikan komentar yang positif terhadap puisi tersebut. Timbul juga iri, kerana akupun mahukan karya sendiri tersiar dalam media, tetapi semangat dalam diri ini tidak lagi berapi seperti dahulu. Sekali aku membelek semula antologi Ziarah Tanah Kudup (Kemala) yang sudah agak lama tidak kuulang-baca. Rasa sebak dan syahdu menusuk, bagaikan mahu saja aku mengalirkan airmata. Hahaha, agaknya aku memang sentimental apabila mengenang sesuatu yang kudamba.

Mungkin bicara aku tidak seberapa kerana akupun khuatir untuk menimbulkan persoalan mengenai perkara yang akupun tidak berapa arif tentangnya. Cuma, aku pernah membaca, sewaktu awal masa aku berpuisi, kesederhanaan itu utama juga, kerana ia mudah, ringan dan selamat, tidak pula menimbulkan banyak kerunsingan buat orang berfikir-fikir tentang pedomannya. Suatu waktu aku pernah dikatakan meluahkan bicara yang sendat dengan isi dan persoalan. Aku cuba untuk berbicara dengan mudah tetapi aku rasa selalu sahaja aku tidak perasan kerana aku berkira untuk ringan berbicara: tak perlu berat memikirkan akibatnya. Ternyata sebenarnya hitungan aku itu silap kerana kata yang dikeluarkan begitu saja bisa saja melukakan hati seseorang insan yang terasa. Ini jualah yang menimbulkan rasa takut buatku untuk menulis dengan bersahaja.

Tulisan ini pada dasarnya cuma untuk aku bernafas semula, lalu bisa membicarakan perkara lain pada waktu mendatang. Mungkin gaya dan cara aku menulis tak seperti yang biasa seperti dahulunya tapi aku cuba meneruskan usaha. SubhanaHullahumma wabihamdiHi nashhadu an la Ilaha illa Huwa nastaghriruHu wanutubu ilayH.