Waktu Salat

Jumaat, 29 Ogos 2008

Rencana Buat Saudara

Malam tadi, seorang saudara kembali menyapa aku dalam mesejnya. Katanya ia mahu akan puisiku yang bertemakan kemerdekaan. Aku tak begitu saja menuruti kehendak saudara ini kerana aku tidak menulis sebarang puisi merdeka pada waktu ini malah kalaupun aku ada menulis, tak selayaknya aku mengirimnya kerana sebagaimana telah aku jelaskan dalam tajuk blog ini aku ini masih mentah lagi. Sebaliknya aku berhasrat untuk mengirimkan puisi "Surat Wasiat" karya Kemala yang telah aku sertakan terdahulu dalam blog ini. Walau bagaimananpun tak lama kemudian ia kembali menyapa, kali ini dengan panggilan-tanpa-balas. Lantas aku menghubunginya kembali lalu ia menyatakan tujuan sebenarnya. Katanya ia mahu benar akan puisiku kerana ada sayembara puisi merdeka (maksudnya tak boleh aku mengirimkan puisi yang sudah terjamin hakcipta). Akupun menulis beberapa perkataan buat memenuhi permintan hati saudara yang satu ini.

Pada fikiranku, dalam masa beberapa minit aku cuma bisa menghasilkan suatu karya yang spontan. Karya begini (spontan) pula biasanya kurang mutunya kerana penuh dengan kelemahan dan tak melalui proses suntingan untuk memperbaik karya tersebut. Aku mengira karya yang terhasil itu, bukanlah puisi sebenarnya kerana ia cuma tulisan beberapa perkataan yang bukan saja tak indah malah sukar untuk menyenutuh jiwa insan. Takkanlah karya sebegini yang menjadi taruhan? Tentulah kalau tak kecundangpun, menang tak selayaknya. Setelah beberapa minit, karya ini rampung sudah dan aku tak mengubahnya lagi buat mencantikkan peri kerana sudah dasarnya karya itu sepintas lalu.

Malang sekali kerana tanpa aku sedari kredit habis di tengah pagi (maaf saudara kerana ternyata karya inipun nampaknya segan menyapamu). Walau apapun terjadi dalam sayembara puisi merdeka, aku harap saudara giat membaca dan menulis sajak kerana untuk menjadi penyair yang mapan, tak cukup jika cuma aktif dalam peraduan (itupun kalau benar saudara ada menyimpan impi menjadi penyair sejati). Dalam apa jua waktu dan keadaan aku mendoakan saudara teguh iman (sekali lagi maaf dipinta). Sampai bertemu di lain waktu. Was-salamu 'alaykum warahmatullahi wabarakatuh. Wallahu a'lamu bis-sawab.

Ahad, 24 Ogos 2008

Puisi Pilihan Sempena Merdeka

Surat Wasiat

I
Bangsaku, baju sejarah telah koyak
bulan sahsiah sudah terbelah
tengkolok dirobek tikus-tikus hutan
destar disalut lumpur likat pekat
keris panjang berkarat di muzium tua
Mak Sirandang tujuh kali papa
Jebat menggenggam Taming Sari
menikam-nikam bayangnya sendiri
Bendahari tujuh kali geruh
Melaka hilang hikmah, hilang paruh
baju sejarah telah koyak
bulan sahsiah terbelah sudah
roh kembali lagi, dari
perbenturan langit dan bumi.

II
Bangsaku, tatang Melayu, julang Malaysia
lahirkan seribu Ibnu Khaldun, al-Ghazali, al-Farabi
gelora-menggelora al-Muqaddimah, ombak-mengombak
Ihya' Ulum ul-Din, gelombang-menggelombang Madinatul Fadhilah
Kekasih melambai membelai, bertemu
Tasawwur ilmu dalam tauhid Satu. Camar tangkas, kuda putih mujahid
memukul penjajah. Di laboratorium Perdana
racun menjadi madu.

Ah, betapa pesona, betapa musibah sekalipun
benamkan dalam-dalam titik-bengek prasangka.
"Ular menyusur akar takkan hilang bisanya!"
Antara selisih dan selasih. Al-'Afwun dalam kilau Asma' ul-Husna.
Bangsaku, yang utama Kasih dan Cinta.
Lapangkan dadamu dengan hujah jujur
"Beda butir dan fikir mujur, hikmahnya berjalur.
Seni bestari alam rohani menghablur.
Ulama-hukama hargai dengan luhur.
Pewaris Nabi-nabi bak bintang di langit bertabur!"
Muhasabah al-Khattab muhasabah cemerlang
sedia diranggas kilau mata pedang
andai menyeleweng salah laku dan sumbang.

Pacu langkahmu ke makam Mahabbah, ya Salikin
demi cinta perkasa, hanya Dia yang 'Ariffin
pasrah dengan ikhtiar, gigih dalam sabar, sederhana muktabar
badai mencabar. Taufan menggegar.
menerjang bagai Singa Allah
baju Sejarah Melayu ditatah
benang emas zamrud baharu
di bawah lindung payung Islami. Gemerlap bersayap iman.
Kemilau dalam cahaya Ihsan.
Bangkitlah wahai seribu pentafsir. Bangunlah seribu pemikir
kalian kandil mengenal hak dan batil. Kebenaran tak mungkir
Tamadun alaf, awas liku pancaroba, waspada tipu cacamarba.

Hubaya, karang tajam di dasar laut. Hubaya. Taufan mencabar
ganas. Badai menggegar buas. Kapal nakhoda sombong
terhempas. Bangsaku, ubati neurosis bangsa saraf pesimisme
memformula Melayu berjiwa besar
mempertajam budi dan akal. Cekal dan tawakal
menyatu multisiber-tekno-tinggi. Wibawa, filsafat, rohani
hukum dan pedagogi. Takwa pakaian diri. Degup jantung
peribadi utuh, duniawi-ukhrawi, merenangi
cakerawala demi cakerawala
dimensi demi dimensi, membangun tamadun
insan madani. Jenjang-jenjang persatuan ummah
besar dalam wahdah
pijar dalam syahadah!

Kuala Lumpur,
Ogos 20

Kemala
Ziarah Tanah Kudup, 2006.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jumaat, 22 Ogos 2008

Membina Kekuatan

Ketika aku makan malam selepas 'Isha' di kafe (maaf Izwan dan saudara-saudara, kerana aku tak dapat memenuhi pelawaanmu untuk makan bersama), pada waktu yang sama kafe tersebut pula menayangkan rancangan Gerak Khas saluran RTM2 (terfikir sejenak bila lagi RTM mahu meningkatkan kualiti penyiaran seperti stesen TV swasta yang terpaksa bertapak sendiri tanpa bantuan kerajaan). Isu yang digarap adalah isu mak nyah, ma sha' Allah. Terasa amat jengkel pula menatap kaum sejenisku tingkahnya begitu jelik sekali. Berdasarkan pengalamanku menuntut ilmu selama ini ada juga segolongan anak-anak Adam yang lembut namun tidaklah seteruk golongan yang dipaparkan di kaca TV itu. Cukuplah di situ sekadar berperi kerana bukan hal ini sebenarnya yang menjadi fokus bicaraku dan pula aku merasakan amat tidak selesa menulis tentangnya. Walau bagaimanapun, aku menyelitkan cerita ini bagi mencetuskan persoalan tentang lembik, ataupun aku lebih suka menyebut di sini da'if (lemah).

Sebelum peristiwa di kafe itu, pada hari Khamis seperti amnya aku mengikuti kelas Fizik. Pensyarahku menimbulkan persoalan mengenai umat Islam seperti biasa dan menyoal kepada sekalian pelajarnya termasuk aku, adakah lemah ummah islam pada hari ini berbanding pihak Barat lalu rata-rata termasuk aku mengaku. Beliau mengkritik jawapan itu dan mengatakan kalau itulah jawapan kami maka kami membenarkan apa yang disebut-sebut oleh Barat, sepatutnya seseorang muslim mesti menidakkan hal ini dan merasakan 'izzah terhadap golongan kafir. Tetapi atas dasar keda'ifan iman, kurangnya ma'rifah dan ilmu mudah saja ia berasa rendah. Islamlah yang meninggikan martabat lalu apabila Islam itu tidak ditegakkan sesempurnanya maka jatuhlah martabat seseorang itu.

Sejujurnya malam itu saja aku lalai sudah akan persoalan ini yang menuntut perubahan dalam diri. Namun, hal ini berubah apabila aku hadir dalam latihan Asad al-Atlas (harfiahnya bermaksud singa Atlas, sebuah gunung di Magribi), suatu pertubuhan seni beladiri yang bisa dikatakan campuran seni-seni pertahanan diri sedia ada namun dalam acuan tersendiri. Pengasasnya yang juga tenaga pengajar Master Elidrissi Aboujaafar Sidi Mohamed Elmontassir menyampaikan sedikit pedoman yang patut direnung sepenuhnya (sesi latihan belum lagi dimulakan, ini baru pertemuan pertama). Beliau bercerita ummah islam hari ini sepatutnya menjadi yang pertama dalam segalanya. Beliau mengambil contoh dalam temasya Olimpik, pingat-pingat dibolot oleh golongan bukan Islam manakala negara islam cuma meraih sedikit daripada itu. Turut dijadikan mithal Malaysia tetapi dalam hati aku bermonolog, "Itupun seorang bukan muslim yang merangkulnya.
Beliau bercerita, Nabi s.a.w. dalam sabdanya menyuruh kita agar mendidik anak-anak memanah, menunggang kuda dan berenang (ketiga-tiga hal ini aku tak bisa melakukannya). Beliau berkata al-Qur'an dan hadith Nabi, setiap satunya mesti dijadikan panduan sehingga hari qiamah dan tiada langsung tarikh luput sebelum itu. Beliau meluahkan rasa kesal melihat muslimin tampak jahil dalam ilmu pengetahuan. Selain itu beliau berkata, ketika jam 6 pagi, wanita-wanita tua Cina bersenam (tai chi) dalam pada muslimin melayan kantuk di ranjang. Para sahabat kurang makan tetapi sering berlatih menggunakan senjata, bersenam. Sebaliknya kita terlebih makan dan kurang melakukan senaman. Dalam bulan Ramadan mereka tetap berperang, jadi tiada alasan buat membatalkan latihan ketika bulan puasa yang mendatang(selepas 'Id al-Fitri in sha' Allah ada latihan 10 km dalam 25 minit dan tentulah aku takkan sepantas itu, mungkin berjam-jam baru tamat dan ada juga timbul rasa yang aku mungkin takkan rampung berlari, wallahu a'lam). Hal lain yang turut dibicarakan adalah supaya para ahli saling mengenali agar lebih lancar urusan dalam persatuan.
Ringkasnya dalam keadaan ummah sekarang yang lemah kita perlu tampil membina kekuatan, la hawla wala quwwata illa billah. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan, rahmah dan keampunan. Wallahu a'lamu bis-sawab.

Khamis, 21 Ogos 2008

Hari Al-Quds Sedunia, 21 Ogos

Hari ini, yakni 21 Ogos kita mengenang kembali tragedi yang berlaku di samping peristiwa Nakbah pada Mei 1948 iaitu peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa oleh Michael Rohan, seorang fundamentalis Kristian Australia pada tarikh sama (21 Ogos 1969). Pada waktu itu, rejim Zionis telah memutuskan bekalan air dan menghalang briged bomba daripada tampil untuk memadam kebakaran. Ternyata sekali, mereka ini mahukan kerosakan maksimum pada masjid suci umat islam yang ketiga ini.Lewat peristiwa ini, Pertubuhan Persidangan Islam [Organisation of Islamic Conference (OIC)] ditubuhkan dan dianggotai oleh negara-negara Islam kecuali pihak seperti Turki yang bukan saja tidak turut serta malah mengukuhkan hubungan diplomatik dengan Zionis. Mungkin saja kita mengaku bahawa OIC seperti tidak memberikan impak terhadap isu ini tetapi sebagai menyedari ada juga sedikit kesedaran untuk bersatu di kalangan umat Islam menunjukkan ada harapan.

Tarikh ini jua merupakan Hari Al-Quds Sedunia maka sepatutnya pada hari ini, dan juga pada hari-hari lain kita sentiasa memikirkan keadaan saudara-saudara kita yang terdera di Palestin. Malang sekali bagi kita yang lemah buat hanya mampu sedar, lihat dan terpaku tanpa berbuat apa-apa. Lagipun, bukanlah suatu tindakan yang bijak malah buru rasanya dalam keadaan masyarakat kita sendiri terumbang-ambing. Sebelum membantu harus kita sedari persiapan harus dilakukan sama ada dari segi rohani, mental, fizikal dan sebagainya.


Dalam pada kita menikmati keamanan yang dikecapi, masa harus diisi buat memperkembang, memperbaik diri. In sha' Allah kita dapat mengambil iktibar dengan melakukan sesuatu. Tidak cukup kita merintih syahdu akan peristiwa dan situasi di Palestin. Malunya kita kepada mereka, pada Tuhan yang menyaksikan. Subhanallahi wabihamdiHi subhanallahil-'Azim. Wallahu a'lam.

Rabu, 20 Ogos 2008

Merdeka? In Sha' Allah...

Suatu waktu saudaraku Ielia menyapa melalui mesej ringkasnya. Ringkasnya, takkanlah cuma lirik nashid yang menjadi modalku buat mengisi ruang dalam blog ini. Sebenarnya aku ada bahan lain utuk dikongsikan bersama namun bukan tiap masa aku mempunyai waktu yang cukup buat menaip blog ini. Bicara seperti ini bagiku tiadalah menjadi hal sangat kerana mudah dan ringkas, di samping bahan yang mahu aku nukilkan bukanlah barang saja-saja tetapi soal yang lebih berat sehingga aku berfikir panjang sama ada mahu atau tidak menukilkannya kerana hakikatnya aku akan dipertanggungjawabkan kelak tetapi aku sedar aku tidak boleh menjadi pengecut tetapi mesti berani menegakkan kebenaran meskipun aku ini cuma insan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan.

Hari ini jua aku menerima mesej daripada saudara yang sudah lama tidak kutemukan air mukanya yakni juniorku semasa berada di sekolah menengah dahulu. Hal ini turut membuatkan aku terkenang akan nostalgia ketika bersama rakan-rakan menempuh suka dan duka hidup di asrama. Bagaimanalah agaknya bicara mereka saudara-saudaraku, guru-guruku di SDAR. Namun aku berdoa mereka sentiasa dilimpahkan rahmat dari Kasih Pertama, dan Kasih mengampunkan dosa mereka. As-salamu 'alayhim, warahmatullahi wabarakatuh.

Di sini aku jua ingin berkongsi serba sedikit pengalaman aku menuntut ilmu di Petaling Jaya ini. Pensyarahku yang mengajarkan Fizik antara personaliti yang menceriakan pembelajaran di sini. Bukan setakat berbicara soal pelajaran, tetapi beliau sering menyisipkan cerita mengenai isu semasa sama ada yang berlaku dalam kampus, luar kampus mahupun antarabangsa dan beliau sentiasa menggarap persoalan mengenai realiti Muslimin kini yang jauh ketinggalan. Dalam gelak tawa menyedari peri Melayu dan Malaysia yang dalam satu segi tampak melucukan, sebenarnya beliau mencabar pelajarnya supaya tampil berbeza dan meninggalkan budaya yang negatif.

Baru-baru ini aku dan saudara-saudari seperjuangan belajar mengenai Hukum Kepler yang diterajui oleh Johannes Kepler (1571-1630). Beliau menceritakan perbezaan pendapat antara saintis waktu itu dan pihak gereja. Kepler berpendapat bahawa bumi itu bukanlah pusat alam semesta manakala pihak gereja menjadikan prinsip ini sebagai pegangan. Secara ringkas pensyarah menceritakan pemikiran yang kontradiksi ini telah melahirkan golongan sekular yang terdiri daripada golongan ahli sains dan akibatnya sains didakwa oleh mereka sebagai bidang di luar agama dan sebaliknya. Aku anggap hal ini bukan sahaja suatu yang amat malang malah merupakan malapetaka yang amat merugikan golongan agama.

Biarpun kini kita mengatakan kemerdekaan negara telah dikecap sejak setengah kurun yang lalu. Walau bagaimanapun, ideologi sekularisme ini seakan telah ditanamkan dalam diri kita sejak zaman penjajahan dan masih lagi menjajah pemikiran kita. Terutamanya dalam soal ilmu sains, agama seakan terpisah dan dianggap merupakan hal yang tiada hubungan. Pensyarah menyatakan lagi, sayang apabila seorang muslim tidak dapat menjadikan sains sebagai salah satu cara buat dia mendekatkan diri dengan Cinta Utama.

Sempena bulan kemerdekaan ini, eloklah, dan bukan sekadar elok malah merupakan sauatu kemestian bagi kita semua buat mengikis habis fahaman seperti ini. Aku bukan berlagak seperti insan yang telah bebas tetapi pesanan ini merupakan suatu motivasi buat kalian dan aku juga in sha' Allah. Wallahu a'lamu bis-sawab.

Khamis, 14 Ogos 2008

Ritma Kehidupan

Album : Damai
Munshid : Hijjaz

Huluran salam berhias senyuman
Pertemuan mengeratkan perhubungan
Saling bermesra kukuhkan ikatan
Persaudaraan di dalam keredhaanNya

Irama nan syahdu kita dendangkan
Berkias ungkapan penuh makna
Menyatukan kita dalam ritma
Santun kata beralas budi bicara

Di dalam lagu kita dipertemukan
Di dalam restuNya kita bergandingan tangan
Meneruskan cita-cita kehidupan
Dalam suasana kedamaian

Berjauh berpisah berjarak menyusuri fitrah
Merindu menanti mengharap mendamba dalam gundah
Air yang mengalir dicincang tiada kan putusnya
Biduk lalu kiambang bertaut semula

Berpesan-pesan sesama saudara
Meneruskan seruan Rasul junjungan
Saling berdoa memohon rahmatNya
Bertemu tak jemu berpisah tidak gelisah

Lagu: Manis Helma (Hijjaz Records)
Lirik: Alif Lam Ra (Gurindam Entertainment)
Susunan Muzik : Mohar
Penerbit : Isman Isam
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.

Jumaat, 8 Ogos 2008

Ulasan Puisi (Dewan Siswa Februari 2007)

KESEDERHANAAN DALAM PUISI

(oleh FAISAL TEHRANI)

SECARA mudah bagaimanakah kita dapat mengucapkan sebuah puisi yang indah? Untuk menjawab soalan di atas penulis teringat kata-kata watak seorang guru Sastera kepada pelajar-pelajarnya dalam filem Dead Poets Society, ‘Puisi boleh menyentuh apa-apa sahaja, hal-hal sederhana namun yang menjadikannya berbeza daripada kata-kata harian ialah dengan tidak menjadikannya sesuatu yang lazim’.

Ada dua hal yang akan menjadikan sesuatu yang sederhana itu tidak lagi lazim iaitu melalui pemilihan kata-kata dan juga pemilihan sudut pandangan yang berbeza. Kepintaran pengarang dalam menghubungkan dua entiti berbeza dengan satu subjek adalah salah satu elemennya.

Puisi Rumah Pusaka tulisan Abdullah Faisal bin Maulana menunjukkan sesuatu yang sederhana boleh menjadi sesuatu yang indah. Puisi pendek tersebut dapat merakamkan semuanya tentang perasaan pengarang pada zaman kanak-kanak terhadap nostalgia rumah pusaka. Permainan kanak-kanak boleh sahaja menjadi sesuatu yang tidak bermakna tetapi apabila dihubungkan dengan memori rumah pusaka, ia memberikan satu kesan emosi yang mendalam. Lihat bait-bait di bawah ini:


Disiangi

Lubang tikus, baling tin, polis sentri,

Main sembunyi-sembunyi;

Dimalami

Kelas mengaji, kartun TV,

Mimpi Power Rangers.


Hal ini turut terkesan pada puisi lain iaitu Memoir Sebuah Perpisahan karya Mohd Azree bin Mohd Ariffin. Perpisahan dengan guru yang berjasa sering sahaja menjadi ungkapan penyataan puisi penulis remaja. Bahkan ia sudah menjadi satu hal yang lumrah dan biasa, tetapi seperti kata penulis di awal, pemilihan kata-kata boleh sahaja memberikan warna kepada subjek sederhana tersebut. Lihat sahaja kecekapan penyair muda ini berbahasa:


Dengan pena tergenggam erat di tanganmu

Kau tunjukkan jalan yang lurus

Terangi sudut-sudut berkabus

Bimbinglah kami dengan kitab dan kamus

Biar beronak daratan diredahi

Biar berombak lautan direnangi


Kesederhanaan lain terpancar pada puisi Sayed Mahazan bin Sayed Daud dengan judul Pada Nyanyian Burung. Keindahan siulan burung dihubungkan dengan bahasa keindahan Tuhan, dan dihubungkan pula dengan kedamaian dan kebebasan seperti rintihan pengharapan Nabi Yusuf dalam penjara. Yakni sehingga penjara menjadi satu sekolah pengajaran yang bermakna.


Aku tidak kesal

Aku akan terus menyanyi

Dengan lagu keindahan bahasa Tuhan

Semerdu suara Yusof

Pada maksud kebebasan

Dan kedamaian jiwa


Kesan estetik sesuatu puisi boleh sahaja ditemui pada diksi yang sederhana, tanpa perlu berbunga dan meleret. Pengarang baharu sering ghairah untuk bermain dengan kalimat yang besar, dan kadang kala kesasar. Penyair muda juga selalu menyangkakan lebih banyak manipulasi bahasa seperti yang terdengar dalam lirik-lirik lagu di radio maka lebih indah jadinya. Hal ini belum tentu benar kerana selain pemilihan kata yang beritma, getar emosi selalu diruntun oleh hal-hal sederhana dengan pemilihan kata yang juga sederhana tetapi diberi sudut pandangan yang berbeza.

Kegagalan dalam memberikan memberikan makna kepada pilihan kata-kata, dan juga memberikan sudut pandangan yang baharu terhadap sesuatu boleh mengakibatkan puisi menjadi hanya satu tempelan kata-kata slogan yang kosong dan bersemangat sahaja. Hal ini menyebabkan puisi-puisi nukilan Mazlan Salian dengan tajuk Naluri Hipokrit, atau puisi Dadah Membawa Padah karya Nor Zaireen, juga puisi Pahlawan Kemerdekaan hasil kerja Fadla Junus dan akhir sekali sajak Zakaria bin Saad dengan Batas Sempadan menjadi kaku, keras, yang di dalamnya terdapat lontaran kata-kata biasa yang tidak dapat menangkap nurani.

Perhatikan biasanya rangkap-rangkap biasa ini:


Batas-batas kemanusiaan itu

Peliharakanlah dengan suci

Agar tidak ternoda

Pada kelemahan diri

Pada tajamnya tutur bicara


Atau seperti yang terserlah pada sajak Nurul Hasanah berjudul Keinsafan:


Diri hanya insan biasa,

Noda dan dosa makanan nurani,

Daun usia di pohon hayat kian menguning,

Ku terjaga dari empuk tilam khayali,

Tempat yang kusinggah bukannya singgahsana keredaanMu.


Walau bagaimanapun hal ini tidak harus menjadikan adik-adik lemah semangat kerana penyair tidak terbina dengan satu puisi malahan proses kepengarangan adalah proses yang panjang.

Tehrani, F. (2007). Kesederhanaan Dalam Puisi. (Z. Abu Samah, Ed.) Dewan Siswa Februari 2007 , 29 (2), 30.

Puisi Pertama Tersiar

Rumah Pusaka

Tika gerimis
Rumah Pusaka
Mengimbau nostalgia
Zaman naifnya akal
Cuma suka merajai
Dunia sendiri

Disiangi
Lubang tikus, baling tin, polis sentri,
Main sembunyi-sembunyi;
Dimalami
Kartun TV, kelas mengaji,
Mimpi Power Rangers

Kenangan manis
Penyambung nyawa
Rumah Pusaka

Sungai Gadut, Seremban,
2006.

Lebai Jawi
Dewan Siswa, Februari 2007.

Jumaat, 1 Ogos 2008

Ajal

Pabila sampai
Roh menggapai
Hakiki.

Petaling Jaya,
Rajab 1429H.

Sekadar Cubaan Pertama

Kini isu blog ini dikatakan menjadi suatu fenomena lalu aku sebagai insan yang cuba untuk tidak tampak terkebelakang dalam soal ini cuba untuk mengalami sendiri dunia blog ini sebagai usaha supaya aku dapat menanggap soal blog ini dalam mata jujur... bahkan Dia yang paling tahu