Waktu Salat

Selasa, 26 April 2011

Munajat

Album: Munajat
Munshid: Asri & NadaMurni

Tuhan
Kubisikkan kerinduan
Keinsafan
Pengharapan

Tuhan
Kusembahkan pengorbanan
Membuktikan kecintaan

Bisikanku untuk-Mu
Munajatku mohon restu
Semoga cintaku bukan palsu
Pada desiran penuh syahdu
Gelombang lautan rinduku

Munajatku dalam syahdu
Merindui maghfirah-Mu
Mardiyah-Mu dalam restu
Harapan tulusnya hatiku

Kurindukan pimpinan-Mu
Keagungan-Mu dalam doaku
Kebesaran pada qudrat-Mu
Ia membina ruhaniku

Ujian kepahitan
Di dalam perjuangan
Padanya ada kemanisan
Ketenangan dan kebahagiaan
Bayangan syurga idaman

Jumaat, 22 April 2011

Lapan Penyakit Hati

Suatu hari, tatkala mengulangkaji demi peperiksaan yang menjelang pada waktu itu, aku turut mendengar radio IKIM.fm (Institut Kefahaman Islam Malaysia). Tika itu, sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam `Abd Allah ibn al-Mubarak radiyallahu `anhu dalam kitab al-Zuhd (kezuhudan) telah menjadi item perbahasan. Hadith ini sangat mengesankan aku, biarpun mungkin sahaja tidak sampai aku menangis ataupun pengsan disebabkan oleh beratnya isu yang dibincangkan melalui hadith ini, tetapi hatijawi yang sentiasa dilanda kerisauan ini bertambah pula risaunya, takut-takut hadith ini bisa menjadi hujah ke atas aku. Aku bermohon kepada Allah agar kita dilindungi daripada tergolong dalam kelompok yang dimaksudkan dalam hadith ini.

Sempat juga aku mencoret isipenting hadith ini berkenaan lapan penyakit hati yang mesti kita hindari buat mengelakkan amal kita ditolak oleh Allah. Mudah-mudahan dengan hidayah dan petunjuk daripada al-Hadi kita boleh melakukan amal salih yang paling baik, kerana Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran buat sesiapa yang terbaik pekerjaannya. Selepas beberapa ketika, aku menemukan sebuah blog yang memaparkan kesuluruhan hadith ini. Aku menganjurkan para sahabat pembaca buat melihat blog tersebut yang bermanfaat sekali pada pendapatku. Maka aku suratkan di sini mafhum hadith tersebut yang aku salin dan sunting sedikit.

Imam `Abd Allah ibn al-Mubarak radiyallahu `anhu telah meriwayatkan di dalam kitab al-Zuhd (kezuhudan) dengan sanad beliau daripada seorang lelaki (Khalid ibn Ma`dan) yang pernah berkata kepada Mu`adh ibn Jabal, "Wahai Mu`adh, ceritakanlah kepadaku sebuah hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasul Allah sallallahu `alayhi wasallam." Berkata rawi hadis tersebut (Khalid ibn Ma`dan) lalu Mu`adh menangis sehingga aku sangka ia tak dapat berhenti namun akhirnya Mu`adh berhenti daripada tangisnya seraya berkata, “Aku mendengar Rasul Allah sallallahu `alayhi wasallam pernah bersabda kepadaku, ‘Wahai Mu`adh! Sebenarnya aku mahu menceritakan kepada kamu sebuah hadith: kalau engkau mampu memeliharanya pasti ia akan memberikan manfaat buatmu di sisi Allah tetapi andai engkau mensia-siakannya dan tidak memeliharanya maka akan terputuslah hujjahmu di hadapan Tuhan pada hari qiyamah nanti.

Wahai Mu`adh! Sesungguhnya Allah subhanaHu wa ta`ala telah menjadikan tujuh orang malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Kemudian ditentukanNya pada setiap langit seorang malaikat daripada mereka untuk menjaga pintu langit tersebut. Lalu naiklah malaikat Hafazah membawa amalan seorang hamba yang dilakukannya mulai dari pagi sampai ke petang. Amalan tersebut mempunyai nur bagaikan cahaya mentari, hingga apabila malaikat Hafazah yang membawa amalan hamba itu sampai ke langit yang pertama, mereka menganggap bahawa amalan itu baik dan sangat banyak. Maka berkata malaikat penjaga langit pertama itu kepada malaikat Hafazah:

"Pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat penjaga ghibah (mengumpat). Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang mengumpat orang lain itu dapat melintasi aku untuk terus naik ke atas."

Kemudian datang pula malaikat Hafazah membawa amalan seorang hamba. Mereka menganggap bahawa amalan itu sangat baik dan sangat banyak (malaikat itu berjaya melintasi langit yang pertama) sehingga mereka sampai ke langit yang kedua lalu berkata malaikat penjaga langit yang kedua itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia mahu dengan amalannya itu buat mendapat keuntungan dunia. Allah telah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang seperti ini melintasi aku demi terus naik ke atas. Selain itu ia juga suka membesarkan diri di dalam majlis perjumpaan. Akulah malaikat penjaga kebesaran."

Kemudian naik pula malaikat Hafazah membawa amal seorang hamba yang penuh dengan sinaran dan cahaya daripada pahala sedekah, solat, puasa. Para malaikat Hafazah merasa hairan melihat keindahan amalan tersebut lalu mereka membawa amalan itu (melintasi langit pertama dan kedua) sehingga sampai ke pintu langit yang ketiga. Maka berkata malaikat penjaga langit ketiga itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya. Akulah malaikat takabbur. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang takabbur (membesarkan diri) dapat melintasiku. Orang itu sangat suka membesarkan diri di dalam majlis orang ramai."

Kemudian naik pula malaikat Hafazah membawa amal seorang hamba. Amal itu bersinar-sinar seperti bersinarnya bintang yang berkelip-kelip. Baginya suara tasbih, solat, puasa, haji dan umrah. Para malaikat Hafazah berjaya membawa amalan itu sehingga sampai ke langit pintu yang keempat maka berkata malaikat penjaga langit keempat itu:

"Berhenti kamu di sini dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya, belakang dan juga perutnya. Akulah malaikat `ujub (takjub/kagum/bangga dengan kehebatan/kebaikan diri sendiri). Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang `ujub dapat melintasiku. Ia beramal adalah dengan dorongan perasaan `ujub terhadap dirinya."

Kemudian naik pula malaikat Hafazah membawa amal seorang hamba sehingga mereka berjaya sampai ke pintu langit yang kelima seolah-olah amalan itu pengantin yang dihantar (disambut) ke rumah suaminya (maksudnya amalannya itu berseri-seri) lalu berkata malaikat penjaga langit yang kelima:

"Berhenti kamu dan pukulkan dengan amal ini akan muka orang yang mengerjakannya dan campakkanlah di atas tengkuknya. Akulah malaikat hasad. Ia sangat hasad dengki kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya. Ia menghasut orang lain yang melakukan sebarang kelebihan di dalam ibadat, ia juga mencela mereka. Allah menyuruhku supaya aku tidak membiarkan amalan orang yang dengki ini melintasi aku."

Kemudian naik pula malaikat Hafazah membawa amalan seorang hamba. Baginya cahaya seperti bulan purnama daripada solat, zakat, umrah, jihad dan puasa. Malaikat Hafazah berjaya membawa amalannya sehingga sampai ke langit yang keenam lalu berkata malaikat penjaga langit tersebut:

"Berhentilah kamu dan pukulkan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya kerana ia tiada belas kasihan kepada hamba-hamba Allah yang terkena bala dan kesusahan bahkan ia merasa gembira dengan demikian. Akulah malaikat rahmah. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang seumpama ini melintasi aku."

Kemudian naiklah pula malaikat Hafazah membawa amalan seorang hamba. Amalan itu ialah solat, puasa, nafkah, jihad dan warak. Baginya bunyi (maksudnya bunyi zikir) seperti bunyi lebah dan baginya cahaya seperti cahaya matahari dan naiklah bersama dengan amalan itu 3000 orang malaikat. Mereka telah berjaya membawanya sehingga sampai ke pintu langit yang ketujuh maka berkata malaikat penjaga pintu langit tersebut:

"Berhentilah kamu dan pukulkan dengan amalan ini akan muka orang yang mengerjakannya bahkan pukulkan pula akan seluruh anggota badannya dan tutupkan ke atas hatinya. Akulah malaikat sum`ah (memperdengarkan amalannya pada manusia). Aku akan menghalang amalan orang yang riya’ (memperlihatkan amalannya pada manusia) daripada sampai kepada Tuhanku. Ia beramal bukan kerana mencari keredhaan Allah tetapi bertujuan supaya mendapat tempat yang tinggi di hati para fuqaha’ dan supaya disebut di kalangan para `ulama’ dan supaya masyhur namanya di merata tempat. Allah menyuruhku supaya tidak membiarkan amalan orang yang riya’ itu melintasi aku, kerana setiap amalan yang tidak ikhlas adalah riya’ dan Allah tidak akan menerima amalan orang yang riya’."

Kemudian naik pula malaikat Hafazah dengan amalan seorang hamba. Amalan itu berupa solat, zakat, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, banyak berdiam (daripada yang tidak berguna) dan banyak berzikir. Amalan hamba ini diusung oleh para malaikat penjaga tujuh petala langit sehingga mereka melintasi segala halangan dan sampai kepada Allah. Para malaikat itu berhenti di hadapan Allah dan bersaksi dengan keikhlasan dan kebaikan amalan tersebut lalu Allah berfirman kepada para malaikatnya:

"Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hambaKu ini dan sebenarnya Aku lebih mengetahui dengan segala isi hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hambaKu ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas kepadaKu dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui”.

“Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagiKu apa sahaja yang terlindung. PengetahuanKu atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuanKu atas apa yang bakal terjadi. PengetahuanKu atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuanKu atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hambaKu ini menipu Aku dengan amalnya ini? Ia sebenarnya tidak menghendaki akan Aku dengan amalan tersebut. Ia hanya menghendaki sesuatu yang lain daripadaKu. Oleh kerana itu maka Aku turunkan ke atasnya akan laknatKu."

Dan ketujuh-tujuh malaikat berserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata, “Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknatMu dan laknat kami sekelian bagi mereka." Dan semua yang di langit turut berkata, “Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat”.

Sayyidina Mu`adh radiyallahu `anhu (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis teresak-esak dan berkata, “Ya Rasul Allah, bagaimana aku boleh selamat daripada apa yang diceritakan ini?” Sabda Rasul Allah sallallahu `alayhi wasallam, "Hai Mu`adh, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan”. Mu`adh bertanya kembali, “Ya, tuan ini Rasul Allah sedangkan saya ini hanya si Mu`adh ibn Jabal (hamba Allah bukan Rasul), bagaimana saya bisa selamat dan lepas daripada bahaya tersebut?”

Bersabda Rasul Allah, “Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain. Jangan riya’ dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabbur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut kepadamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan, jangan merobekkan (pecah belah) peribadi orang lain dengan mulutmu kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing api neraka jahanam.” Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Di neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia”.

Mu`adh berkata, “Ya Rasul Allah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?” Jawab Rasul Allah sallallahu `alayhi wasallam, “Mu`adh, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan oleh Allah subhanaHu wa ta`ala. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar.”

Kepada sesiapa yang usai membaca hadith di atas yang panjang sekali bagiku, dapatlah dihayati lapan penyakit batin itu yang mesti kita jauhi yakni:

1. Mengumpat
2. Beramal kerana untung dunia
3. Takabbur
4. `Ujub
5. Hasad dengki
6. Senang apabila orang lain derita
7. Riya’
8. Tidak ikhlas dalam amal

Aku bukanlah orang yang lebih baik daripada kalian, tetapi aku mahu hal yang sedemikian ini buat menjadi pedoman, buat diriku dan diri kalian. Dalam setiap perbuatan yang kita lakukan itu, ingatlah bahawa kita ini cuma hamba Pencipta. Aku sebagai manusia sering sahaja terlupa dan lalai, bimbang sekali andai dalam kerjaku itu, ada pula perasaan yang terperi itu dalam amalanku. Lantas timbul pula sesal, kerana aku ini tidak tahu apa-apa dan tak bisa membuahkan atau menerima apapun, melainkan setelah diperkenankan oleh Dia Yang Asa. Al-Hadi, Dialah yang memberikan petunjuk kepadaku dan kalian, dalam mencari reda-Nya itu. Wallahu a`lamu bil-sawab. Subhanallahi wabihamdiHi nashhadu an la ilaha illa Huwa nastaghfiruHu wanatubu ilayh.

Bukit Gambir, Ledang, Johor.
18 Jumada al-Ula 1432H.

Khamis, 14 April 2011

Bila Diri Disayangi

Album: Panas Berpanjangan
Artis: U.K’s

Terdengar bisikan mesra
Kalimah keramat bermantera
Bermulanya siang berakhir malamku
Tak akan ku jemu menyebut nama-Mu

Tiada batasan waktu
Tiada tempat Mu tertentu
Di gunung di lembah di darat di air
Siapapun hamba, keikhlasan doa
Keagungan Kasih merubah takdir

Bila ku sedari diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bila terkeliru kuucap nama-Mu
Terasa diriku kembali dipandu

Engkau Yang Pertama, tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan Engkaulah Cahaya
Izinkanlah aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayang-Mu
Ku berserah diri

Lagu: Saari Amri

Rabu, 13 April 2011

Selepas Dialog Bersama Seorang Sahabat Gemilang

Beberapa hari lalu aku disapa oleh seorang saudara Gemilang, yang sama meniti hidup tatkala mencari erti di madrasah yang karib di hati, beberapa tahun lepas. Teringat pula aku akan kenang-kenangan sewaktu dulu, di sekolah itu, ada yang manis dan ada pula yang pahit, namun semua jejak yang aku tinggalkan itu rasanya mematangkan aku. Ia menyatakan keadaannya, mengharungi perjalanan, di sepanjang laluan itu tak kurang banyaknya ranjau yang bisa menghambat langkahnya demi ImpiSejati. Aku berharap dalam segala ikhtiar kita teguh menyusuri jalanlurus itu kita dipimpin oleh Dia yang Memberikan Pimpinan, Memberikan Petunjuk.

70309_100000501549305_2453564_n

Ibrahim Hilman yang menyapa.

Ujarnya kepadaku, kita ini (sebagai wakil Tuhan) punyai tanggungjawab untuk menyampaikan beritagembira kepada semua insan. Aku mengakui tugas ini dan aku juga akur bahawa marhalah kekhalifan ini sukar sekali, seperti kata saudaraku seorang lagi (juga sama Gemilang), “segalanya pahit-pahit, deritanya bukan sedikit.” Aku kembali menulis, kerana ingin ini cukup kuat sejak belakangan ini, dan apabila menginsafi kata-kata saudaraku yang terperi itu sedikit sebanyak menguatkan lagi dorongan untuk aku berbicara semula. Sekurangnya melalui blog yang tak seberapa ini, cubaan aku untuk menyampaikan perasaanku itu, apabila dikehendaki Pencipta dapat menghampiri kalau tidak menggapai tujuan itu.

186606_1432658178_7903177_n

Thaqif Ielia yang berkata.

Apabila aku meluahkan khabar diri kepadanya, akan gelora yang membadai hatidalam ini, ia pula memberikan satu ayatTuhan, mafhumnya “mereka yang beriman, dan tenteram kalbu mereka dengan mengingati Allah. Sungguh cuma dengan ingatan pada Allah jadi tenteram kalbu.”(Surah al-Ra’d: 28). Ayat ini turut mengembalikan memori aku akan seorang lagi saudara Gemilang yang juga seorang Jawa (memang perasaan aku terhadap sahabat-sahabat Gemilang ini kuat sekali rasanya) yang pernah berpesan dengan dalil ayat yang satu ini.

187592_1380918483_1602052_n

Wak Nazri yang berpesan.

Meneliti ayat tercerita dalam mushaf terjemahan bahasa Inggeris Mujamma’ al-Maliki Fahdin liTiba’ah al-Mushaf al-Sharif (King Fahd Complex For The Printing Of The Holy Qur’an), diselitkan satu notakaki pada akhir ayat ini, yang aku kira dapat dijadikan pedoman, tentang hikmah Dhikr Allah (Ingatan pada Allah). Disusun tiga terjemahan hadith (dan aku menulis di sini akan mafhumnya dalam bahasa Melayu):

quran

Inilah rupa kulit depan mushaf tersebut.

1. Abu Musa radiyallahu ‘anhu meriwayatkan: Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda, “Perumpamaan sorang yang mengingati (bertasbih memuji) Rabbnya, apabila dibandingkan dengan seorang yang tidak mengingati (bertasbih memuji) Rabbnya, ibarat suatu makhluk yang hidup dibandingkan dengan satu yang mati.” (Sahih al-Bukhariy Jilid 8,Hadith 416).

2. Abu Hurayrah radiyalahu ‘anhu meriwayatkan: Rasul Allah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda, “Barangsiapa berkata, Subhan Allahi wa bihamdiHi*, seratus kali sehari, terampun semua dosanya meski banyaknya menyamai buih di laut.” (Sahih al-Bukhariy, Jilid 8, Hadith 414).

*سبحان الله وبحمده

3. Abu Hurayrah radiyallahu ‘anhu: Rasul Allah salahu ‘alayhi wasallam bersabda, “Barangsiapa berkata: La ilaha illallahu wahdaHu la sharika laHu, laHul-mulku walaHul-hamdu waHuwa ‘ala kulli shay’in Qadir*, seratus kali akan menerima ganjaran serupa memerdekakan sepuluh orang hamba, dan seratus hasanah termaktub dalam kiraan (amalannya), seratus dosa ditolak dari kiraan (amalannya), dan (perkataannya) itu akan menjadi perisai buatnya daripada syaitan pada hari itu hingga malam, dan tiada yang bisa berbuat amal yang lebih baik kecuali sesiapa yang berbuat lebih daripadanya.” (Sahih al-Bukhariy, Jilid 8, Hadith 412).

*لاَ إِلَهَ إِلَّاَ ٱللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ ٱلْمُلْكُ وَ لَهُ ٱلْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَئ ٍ قَدِيرٌ

Aku berwasiat kepada diri dan kalian yang membaca rencana ini, mudah-mudahan kita dapat beramal dengan sebaiknya, demi CintaUtama. Segala yang baik, dan puji-pujian itu cuma layak untuk Allah, Rabb al-‘alamin, padahal semua yang buruk itu dizahirkan melalui kekurangan dan kelemahan jawi seorang ini. Moga-moga, natijah yang baik-baik sahaja yang timbul kesan tulisanku ini, dan apapun yang mengesankan itu datangnya daripada kehendak Pencipta. Wallahu a’lamu bil-sawab. Subhanallahi wabihamdiHi nashhadu an la ilaha illa Huwa nastaghfiruHu wanatubu ilayH. =)

Gombak,
9 Jumada al-Ula 1432H.

Jawi Seorang Ini Kembali Berperi

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Mengasihani. Lama sudah waktu berlalu sejak kali terakhir aku tampil mengisi, dalam blog yang satu ini. Aku kembali berbicara, kerana aku rasa perasaan banyak yang terpendam dari jiwadalam ini patut saja diluahkan sedikit, kalau tidak semua. Ada kata yang tidak menjadi kata, ada pula yang dari awalnya lebih baik tersimpan tak dibicara. Di sini aku ingin meneruskan cubaanku, membantu diriku sendiri dan insan lain melalui tinta, kerana aku percaya tulisan, jika dibandingkan dengan ucapan, ada kesan yang lain terhadap hati pembaca. Aku berdoa akibat yang timbul itu baik-baik sahaja, meskipun aku tahu kadangkala kerana kelemahan dan kekurangan aku sebagai seorang manusia, hadir juga sesuatu yang semahu-mahuku tidak berlaku. Puji-pujian kepada Allah, Penjaga sekelian alam. Selawat dan salam kepada baginda Nabi, sallallahu ‘alayhi wasallam. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyokong diri ini. Pulangnya aku ke jalan Peri dan Puisi ini aku kira dedikasi kepada rakanpenulis, Zai dan Habib. =)


Habib (kiri) dan Zai (kanan). Foto diambil daripada catatan Habib.