Segala pujian itu layak cuma kepada Allah, yang menurunkan kepada hamba-Nya (baginda Nabi sallallahu 'alayhi wasallam) al-Kitab (al-Qur'an), dan tak pernah Ia jadikan padanya sebarang kebengkokan (hal yang menyimpang). (18: 1)
Waktu Salat
Jumaat, 29 Ogos 2008
Rencana Buat Saudara
Pada fikiranku, dalam masa beberapa minit aku cuma bisa menghasilkan suatu karya yang spontan. Karya begini (spontan) pula biasanya kurang mutunya kerana penuh dengan kelemahan dan tak melalui proses suntingan untuk memperbaik karya tersebut. Aku mengira karya yang terhasil itu, bukanlah puisi sebenarnya kerana ia cuma tulisan beberapa perkataan yang bukan saja tak indah malah sukar untuk menyenutuh jiwa insan. Takkanlah karya sebegini yang menjadi taruhan? Tentulah kalau tak kecundangpun, menang tak selayaknya. Setelah beberapa minit, karya ini rampung sudah dan aku tak mengubahnya lagi buat mencantikkan peri kerana sudah dasarnya karya itu sepintas lalu.
Malang sekali kerana tanpa aku sedari kredit habis di tengah pagi (maaf saudara kerana ternyata karya inipun nampaknya segan menyapamu). Walau apapun terjadi dalam sayembara puisi merdeka, aku harap saudara giat membaca dan menulis sajak kerana untuk menjadi penyair yang mapan, tak cukup jika cuma aktif dalam peraduan (itupun kalau benar saudara ada menyimpan impi menjadi penyair sejati). Dalam apa jua waktu dan keadaan aku mendoakan saudara teguh iman (sekali lagi maaf dipinta). Sampai bertemu di lain waktu. Was-salamu 'alaykum warahmatullahi wabarakatuh. Wallahu a'lamu bis-sawab.
Ahad, 24 Ogos 2008
Puisi Pilihan Sempena Merdeka
I
Bangsaku, baju sejarah telah koyak
bulan sahsiah sudah terbelah
tengkolok dirobek tikus-tikus hutan
destar disalut lumpur likat pekat
keris panjang berkarat di muzium tua
Mak Sirandang tujuh kali papa
Jebat menggenggam Taming Sari
menikam-nikam bayangnya sendiri
Bendahari tujuh kali geruh
Melaka hilang hikmah, hilang paruh
baju sejarah telah koyak
bulan sahsiah terbelah sudah
roh kembali lagi, dari
perbenturan langit dan bumi.
II
Bangsaku, tatang Melayu, julang Malaysia
lahirkan seribu Ibnu Khaldun, al-Ghazali, al-Farabi
gelora-menggelora al-Muqaddimah, ombak-mengombak
Ihya' Ulum ul-Din, gelombang-menggelombang Madinatul Fadhilah
Kekasih melambai membelai, bertemu
Tasawwur ilmu dalam tauhid Satu. Camar tangkas, kuda putih mujahid
memukul penjajah. Di laboratorium Perdana
racun menjadi madu.
Ah, betapa pesona, betapa musibah sekalipun
benamkan dalam-dalam titik-bengek prasangka.
"Ular menyusur akar takkan hilang bisanya!"
Antara selisih dan selasih. Al-'Afwun dalam kilau Asma' ul-Husna.
Bangsaku, yang utama Kasih dan Cinta.
Lapangkan dadamu dengan hujah jujur
"Beda butir dan fikir mujur, hikmahnya berjalur.
Seni bestari alam rohani menghablur.
Ulama-hukama hargai dengan luhur.
Pewaris Nabi-nabi bak bintang di langit bertabur!"
Muhasabah al-Khattab muhasabah cemerlang
sedia diranggas kilau mata pedang
andai menyeleweng salah laku dan sumbang.
Pacu langkahmu ke makam Mahabbah, ya Salikin
demi cinta perkasa, hanya Dia yang 'Ariffin
pasrah dengan ikhtiar, gigih dalam sabar, sederhana muktabar
badai mencabar. Taufan menggegar.
menerjang bagai Singa Allah
baju Sejarah Melayu ditatah
benang emas zamrud baharu
di bawah lindung payung Islami. Gemerlap bersayap iman.
Kemilau dalam cahaya Ihsan.
Bangkitlah wahai seribu pentafsir. Bangunlah seribu pemikir
kalian kandil mengenal hak dan batil. Kebenaran tak mungkir
Tamadun alaf, awas liku pancaroba, waspada tipu cacamarba.
Hubaya, karang tajam di dasar laut. Hubaya. Taufan mencabar
ganas. Badai menggegar buas. Kapal nakhoda sombong
terhempas. Bangsaku, ubati neurosis bangsa saraf pesimisme
memformula Melayu berjiwa besar
mempertajam budi dan akal. Cekal dan tawakal
menyatu multisiber-tekno-tinggi. Wibawa, filsafat, rohani
hukum dan pedagogi. Takwa pakaian diri. Degup jantung
peribadi utuh, duniawi-ukhrawi, merenangi
cakerawala demi cakerawala
dimensi demi dimensi, membangun tamadun
insan madani. Jenjang-jenjang persatuan ummah
besar dalam wahdah
pijar dalam syahadah!
Kuala Lumpur,
Ogos 20
Kemala
Ziarah Tanah Kudup, 2006.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jumaat, 22 Ogos 2008
Membina Kekuatan
Khamis, 21 Ogos 2008
Hari Al-Quds Sedunia, 21 Ogos
Tarikh ini jua merupakan Hari Al-Quds Sedunia maka sepatutnya pada hari ini, dan juga pada hari-hari lain kita sentiasa memikirkan keadaan saudara-saudara kita yang terdera di Palestin. Malang sekali bagi kita yang lemah buat hanya mampu sedar, lihat dan terpaku tanpa berbuat apa-apa. Lagipun, bukanlah suatu tindakan yang bijak malah buru rasanya dalam keadaan masyarakat kita sendiri terumbang-ambing. Sebelum membantu harus kita sedari persiapan harus dilakukan sama ada dari segi rohani, mental, fizikal dan sebagainya.
Dalam pada kita menikmati keamanan yang dikecapi, masa harus diisi buat memperkembang, memperbaik diri. In sha' Allah kita dapat mengambil iktibar dengan melakukan sesuatu. Tidak cukup kita merintih syahdu akan peristiwa dan situasi di Palestin. Malunya kita kepada mereka, pada Tuhan yang menyaksikan. Subhanallahi wabihamdiHi subhanallahil-'Azim. Wallahu a'lam.
Rabu, 20 Ogos 2008
Merdeka? In Sha' Allah...
Hari ini jua aku menerima mesej daripada saudara yang sudah lama tidak kutemukan air mukanya yakni juniorku semasa berada di sekolah menengah dahulu. Hal ini turut membuatkan aku terkenang akan nostalgia ketika bersama rakan-rakan menempuh suka dan duka hidup di asrama. Bagaimanalah agaknya bicara mereka saudara-saudaraku, guru-guruku di SDAR. Namun aku berdoa mereka sentiasa dilimpahkan rahmat dari Kasih Pertama, dan Kasih mengampunkan dosa mereka. As-salamu 'alayhim, warahmatullahi wabarakatuh.
Di sini aku jua ingin berkongsi serba sedikit pengalaman aku menuntut ilmu di Petaling Jaya ini. Pensyarahku yang mengajarkan Fizik antara personaliti yang menceriakan pembelajaran di sini. Bukan setakat berbicara soal pelajaran, tetapi beliau sering menyisipkan cerita mengenai isu semasa sama ada yang berlaku dalam kampus, luar kampus mahupun antarabangsa dan beliau sentiasa menggarap persoalan mengenai realiti Muslimin kini yang jauh ketinggalan. Dalam gelak tawa menyedari peri Melayu dan Malaysia yang dalam satu segi tampak melucukan, sebenarnya beliau mencabar pelajarnya supaya tampil berbeza dan meninggalkan budaya yang negatif.
Baru-baru ini aku dan saudara-saudari seperjuangan belajar mengenai Hukum Kepler yang diterajui oleh Johannes Kepler (1571-1630). Beliau menceritakan perbezaan pendapat antara saintis waktu itu dan pihak gereja. Kepler berpendapat bahawa bumi itu bukanlah pusat alam semesta manakala pihak gereja menjadikan prinsip ini sebagai pegangan. Secara ringkas pensyarah menceritakan pemikiran yang kontradiksi ini telah melahirkan golongan sekular yang terdiri daripada golongan ahli sains dan akibatnya sains didakwa oleh mereka sebagai bidang di luar agama dan sebaliknya. Aku anggap hal ini bukan sahaja suatu yang amat malang malah merupakan malapetaka yang amat merugikan golongan agama.
Biarpun kini kita mengatakan kemerdekaan negara telah dikecap sejak setengah kurun yang lalu. Walau bagaimanapun, ideologi sekularisme ini seakan telah ditanamkan dalam diri kita sejak zaman penjajahan dan masih lagi menjajah pemikiran kita. Terutamanya dalam soal ilmu sains, agama seakan terpisah dan dianggap merupakan hal yang tiada hubungan. Pensyarah menyatakan lagi, sayang apabila seorang muslim tidak dapat menjadikan sains sebagai salah satu cara buat dia mendekatkan diri dengan Cinta Utama.
Sempena bulan kemerdekaan ini, eloklah, dan bukan sekadar elok malah merupakan sauatu kemestian bagi kita semua buat mengikis habis fahaman seperti ini. Aku bukan berlagak seperti insan yang telah bebas tetapi pesanan ini merupakan suatu motivasi buat kalian dan aku juga in sha' Allah. Wallahu a'lamu bis-sawab.
Khamis, 14 Ogos 2008
Ritma Kehidupan
Munshid : Hijjaz
Huluran salam berhias senyuman
Pertemuan mengeratkan perhubungan
Saling bermesra kukuhkan ikatan
Persaudaraan di dalam keredhaanNya
Irama nan syahdu kita dendangkan
Berkias ungkapan penuh makna
Menyatukan kita dalam ritma
Santun kata beralas budi bicara
Di dalam lagu kita dipertemukan
Di dalam restuNya kita bergandingan tangan
Meneruskan cita-cita kehidupan
Dalam suasana kedamaian
Berjauh berpisah berjarak menyusuri fitrah
Merindu menanti mengharap mendamba dalam gundah
Air yang mengalir dicincang tiada kan putusnya
Biduk lalu kiambang bertaut semula
Berpesan-pesan sesama saudara
Meneruskan seruan Rasul junjungan
Saling berdoa memohon rahmatNya
Bertemu tak jemu berpisah tidak gelisah
Lagu: Manis Helma (Hijjaz Records)
Lirik: Alif Lam Ra (Gurindam Entertainment)
Susunan Muzik : Mohar
Penerbit : Isman Isam
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.
Jumaat, 8 Ogos 2008
Ulasan Puisi (Dewan Siswa Februari 2007)
(oleh FAISAL TEHRANI)
SECARA mudah bagaimanakah kita dapat mengucapkan sebuah puisi yang indah? Untuk menjawab soalan di atas penulis teringat kata-kata watak seorang guru Sastera kepada pelajar-pelajarnya dalam filem Dead Poets Society, ‘Puisi boleh menyentuh apa-apa sahaja, hal-hal sederhana namun yang menjadikannya berbeza daripada kata-kata harian ialah dengan tidak menjadikannya sesuatu yang lazim’.
Ada dua hal yang akan menjadikan sesuatu yang sederhana itu tidak lagi lazim iaitu melalui pemilihan kata-kata dan juga pemilihan sudut pandangan yang berbeza. Kepintaran pengarang dalam menghubungkan dua entiti berbeza dengan satu subjek adalah salah satu elemennya.
Puisi Rumah Pusaka tulisan Abdullah Faisal bin Maulana menunjukkan sesuatu yang sederhana boleh menjadi sesuatu yang indah. Puisi pendek tersebut dapat merakamkan semuanya tentang perasaan pengarang pada zaman kanak-kanak terhadap nostalgia rumah pusaka. Permainan kanak-kanak boleh sahaja menjadi sesuatu yang tidak bermakna tetapi apabila dihubungkan dengan memori rumah pusaka, ia memberikan satu kesan emosi yang mendalam. Lihat bait-bait di bawah ini:
Disiangi
Lubang tikus, baling tin, polis sentri,
Main sembunyi-sembunyi;
Dimalami
Kelas mengaji, kartun TV,
Mimpi Power Rangers.
Hal ini turut terkesan pada puisi lain iaitu Memoir Sebuah Perpisahan karya Mohd Azree bin Mohd Ariffin. Perpisahan dengan guru yang berjasa sering sahaja menjadi ungkapan penyataan puisi penulis remaja. Bahkan ia sudah menjadi satu hal yang lumrah dan biasa, tetapi seperti kata penulis di awal, pemilihan kata-kata boleh sahaja memberikan warna kepada subjek sederhana tersebut. Lihat sahaja kecekapan penyair muda ini berbahasa:
Dengan pena tergenggam erat di tanganmu
Kau tunjukkan jalan yang lurus
Terangi sudut-sudut berkabus
Bimbinglah kami dengan kitab dan kamus
Biar beronak daratan diredahi
Biar berombak lautan direnangi
Kesederhanaan lain terpancar pada puisi Sayed Mahazan bin Sayed Daud dengan judul Pada Nyanyian Burung. Keindahan siulan burung dihubungkan dengan bahasa keindahan Tuhan, dan dihubungkan pula dengan kedamaian dan kebebasan seperti rintihan pengharapan Nabi Yusuf dalam penjara. Yakni sehingga penjara menjadi satu sekolah pengajaran yang bermakna.
Aku tidak kesal
Aku akan terus menyanyi
Dengan lagu keindahan bahasa Tuhan
Semerdu suara Yusof
Pada maksud kebebasan
Dan kedamaian jiwa
Kesan estetik sesuatu puisi boleh sahaja ditemui pada diksi yang sederhana, tanpa perlu berbunga dan meleret. Pengarang baharu sering ghairah untuk bermain dengan kalimat yang besar, dan kadang kala kesasar. Penyair muda juga selalu menyangkakan lebih banyak manipulasi bahasa seperti yang terdengar dalam lirik-lirik lagu di radio maka lebih indah jadinya. Hal ini belum tentu benar kerana selain pemilihan kata yang beritma, getar emosi selalu diruntun oleh hal-hal sederhana dengan pemilihan kata yang juga sederhana tetapi diberi sudut pandangan yang berbeza.
Kegagalan dalam memberikan memberikan makna kepada pilihan kata-kata, dan juga memberikan sudut pandangan yang baharu terhadap sesuatu boleh mengakibatkan puisi menjadi hanya satu tempelan kata-kata slogan yang kosong dan bersemangat sahaja. Hal ini menyebabkan puisi-puisi nukilan Mazlan Salian dengan tajuk Naluri Hipokrit, atau puisi Dadah Membawa Padah karya Nor Zaireen, juga puisi Pahlawan Kemerdekaan hasil kerja Fadla Junus dan akhir sekali sajak Zakaria bin Saad dengan Batas Sempadan menjadi kaku, keras, yang di dalamnya terdapat lontaran kata-kata biasa yang tidak dapat menangkap nurani.
Perhatikan biasanya rangkap-rangkap biasa ini:
Batas-batas kemanusiaan itu
Peliharakanlah dengan suci
Agar tidak ternoda
Pada kelemahan diri
Pada tajamnya tutur bicara
Atau seperti yang terserlah pada sajak Nurul Hasanah berjudul Keinsafan:
Diri hanya insan biasa,
Noda dan dosa makanan nurani,
Daun usia di pohon hayat kian menguning,
Ku terjaga dari empuk tilam khayali,
Tempat yang kusinggah bukannya singgahsana keredaanMu.
Walau bagaimanapun hal ini tidak harus menjadikan adik-adik lemah semangat kerana penyair tidak terbina dengan satu puisi malahan proses kepengarangan adalah proses yang panjang.
Puisi Pertama Tersiar
Tika gerimis
Rumah Pusaka
Mengimbau nostalgia
Zaman naifnya akal
Cuma suka merajai
Dunia sendiri
Disiangi
Lubang tikus, baling tin, polis sentri,
Main sembunyi-sembunyi;
Dimalami
Kartun TV, kelas mengaji,
Mimpi Power Rangers
Kenangan manis
Penyambung nyawa
Rumah Pusaka
Sungai Gadut, Seremban,
2006.
Lebai Jawi
Dewan Siswa, Februari 2007.