Waktu Salat

Jumaat, 8 Ogos 2008

Ulasan Puisi (Dewan Siswa Februari 2007)

KESEDERHANAAN DALAM PUISI

(oleh FAISAL TEHRANI)

SECARA mudah bagaimanakah kita dapat mengucapkan sebuah puisi yang indah? Untuk menjawab soalan di atas penulis teringat kata-kata watak seorang guru Sastera kepada pelajar-pelajarnya dalam filem Dead Poets Society, ‘Puisi boleh menyentuh apa-apa sahaja, hal-hal sederhana namun yang menjadikannya berbeza daripada kata-kata harian ialah dengan tidak menjadikannya sesuatu yang lazim’.

Ada dua hal yang akan menjadikan sesuatu yang sederhana itu tidak lagi lazim iaitu melalui pemilihan kata-kata dan juga pemilihan sudut pandangan yang berbeza. Kepintaran pengarang dalam menghubungkan dua entiti berbeza dengan satu subjek adalah salah satu elemennya.

Puisi Rumah Pusaka tulisan Abdullah Faisal bin Maulana menunjukkan sesuatu yang sederhana boleh menjadi sesuatu yang indah. Puisi pendek tersebut dapat merakamkan semuanya tentang perasaan pengarang pada zaman kanak-kanak terhadap nostalgia rumah pusaka. Permainan kanak-kanak boleh sahaja menjadi sesuatu yang tidak bermakna tetapi apabila dihubungkan dengan memori rumah pusaka, ia memberikan satu kesan emosi yang mendalam. Lihat bait-bait di bawah ini:


Disiangi

Lubang tikus, baling tin, polis sentri,

Main sembunyi-sembunyi;

Dimalami

Kelas mengaji, kartun TV,

Mimpi Power Rangers.


Hal ini turut terkesan pada puisi lain iaitu Memoir Sebuah Perpisahan karya Mohd Azree bin Mohd Ariffin. Perpisahan dengan guru yang berjasa sering sahaja menjadi ungkapan penyataan puisi penulis remaja. Bahkan ia sudah menjadi satu hal yang lumrah dan biasa, tetapi seperti kata penulis di awal, pemilihan kata-kata boleh sahaja memberikan warna kepada subjek sederhana tersebut. Lihat sahaja kecekapan penyair muda ini berbahasa:


Dengan pena tergenggam erat di tanganmu

Kau tunjukkan jalan yang lurus

Terangi sudut-sudut berkabus

Bimbinglah kami dengan kitab dan kamus

Biar beronak daratan diredahi

Biar berombak lautan direnangi


Kesederhanaan lain terpancar pada puisi Sayed Mahazan bin Sayed Daud dengan judul Pada Nyanyian Burung. Keindahan siulan burung dihubungkan dengan bahasa keindahan Tuhan, dan dihubungkan pula dengan kedamaian dan kebebasan seperti rintihan pengharapan Nabi Yusuf dalam penjara. Yakni sehingga penjara menjadi satu sekolah pengajaran yang bermakna.


Aku tidak kesal

Aku akan terus menyanyi

Dengan lagu keindahan bahasa Tuhan

Semerdu suara Yusof

Pada maksud kebebasan

Dan kedamaian jiwa


Kesan estetik sesuatu puisi boleh sahaja ditemui pada diksi yang sederhana, tanpa perlu berbunga dan meleret. Pengarang baharu sering ghairah untuk bermain dengan kalimat yang besar, dan kadang kala kesasar. Penyair muda juga selalu menyangkakan lebih banyak manipulasi bahasa seperti yang terdengar dalam lirik-lirik lagu di radio maka lebih indah jadinya. Hal ini belum tentu benar kerana selain pemilihan kata yang beritma, getar emosi selalu diruntun oleh hal-hal sederhana dengan pemilihan kata yang juga sederhana tetapi diberi sudut pandangan yang berbeza.

Kegagalan dalam memberikan memberikan makna kepada pilihan kata-kata, dan juga memberikan sudut pandangan yang baharu terhadap sesuatu boleh mengakibatkan puisi menjadi hanya satu tempelan kata-kata slogan yang kosong dan bersemangat sahaja. Hal ini menyebabkan puisi-puisi nukilan Mazlan Salian dengan tajuk Naluri Hipokrit, atau puisi Dadah Membawa Padah karya Nor Zaireen, juga puisi Pahlawan Kemerdekaan hasil kerja Fadla Junus dan akhir sekali sajak Zakaria bin Saad dengan Batas Sempadan menjadi kaku, keras, yang di dalamnya terdapat lontaran kata-kata biasa yang tidak dapat menangkap nurani.

Perhatikan biasanya rangkap-rangkap biasa ini:


Batas-batas kemanusiaan itu

Peliharakanlah dengan suci

Agar tidak ternoda

Pada kelemahan diri

Pada tajamnya tutur bicara


Atau seperti yang terserlah pada sajak Nurul Hasanah berjudul Keinsafan:


Diri hanya insan biasa,

Noda dan dosa makanan nurani,

Daun usia di pohon hayat kian menguning,

Ku terjaga dari empuk tilam khayali,

Tempat yang kusinggah bukannya singgahsana keredaanMu.


Walau bagaimanapun hal ini tidak harus menjadikan adik-adik lemah semangat kerana penyair tidak terbina dengan satu puisi malahan proses kepengarangan adalah proses yang panjang.

Tehrani, F. (2007). Kesederhanaan Dalam Puisi. (Z. Abu Samah, Ed.) Dewan Siswa Februari 2007 , 29 (2), 30.

1 ulasan:

kembara_1990 berkata...

ceh bikin la komen sendiri duhai penyair ces