Waktu Salat

Jumaat, 29 Ogos 2008

Rencana Buat Saudara

Malam tadi, seorang saudara kembali menyapa aku dalam mesejnya. Katanya ia mahu akan puisiku yang bertemakan kemerdekaan. Aku tak begitu saja menuruti kehendak saudara ini kerana aku tidak menulis sebarang puisi merdeka pada waktu ini malah kalaupun aku ada menulis, tak selayaknya aku mengirimnya kerana sebagaimana telah aku jelaskan dalam tajuk blog ini aku ini masih mentah lagi. Sebaliknya aku berhasrat untuk mengirimkan puisi "Surat Wasiat" karya Kemala yang telah aku sertakan terdahulu dalam blog ini. Walau bagaimananpun tak lama kemudian ia kembali menyapa, kali ini dengan panggilan-tanpa-balas. Lantas aku menghubunginya kembali lalu ia menyatakan tujuan sebenarnya. Katanya ia mahu benar akan puisiku kerana ada sayembara puisi merdeka (maksudnya tak boleh aku mengirimkan puisi yang sudah terjamin hakcipta). Akupun menulis beberapa perkataan buat memenuhi permintan hati saudara yang satu ini.

Pada fikiranku, dalam masa beberapa minit aku cuma bisa menghasilkan suatu karya yang spontan. Karya begini (spontan) pula biasanya kurang mutunya kerana penuh dengan kelemahan dan tak melalui proses suntingan untuk memperbaik karya tersebut. Aku mengira karya yang terhasil itu, bukanlah puisi sebenarnya kerana ia cuma tulisan beberapa perkataan yang bukan saja tak indah malah sukar untuk menyenutuh jiwa insan. Takkanlah karya sebegini yang menjadi taruhan? Tentulah kalau tak kecundangpun, menang tak selayaknya. Setelah beberapa minit, karya ini rampung sudah dan aku tak mengubahnya lagi buat mencantikkan peri kerana sudah dasarnya karya itu sepintas lalu.

Malang sekali kerana tanpa aku sedari kredit habis di tengah pagi (maaf saudara kerana ternyata karya inipun nampaknya segan menyapamu). Walau apapun terjadi dalam sayembara puisi merdeka, aku harap saudara giat membaca dan menulis sajak kerana untuk menjadi penyair yang mapan, tak cukup jika cuma aktif dalam peraduan (itupun kalau benar saudara ada menyimpan impi menjadi penyair sejati). Dalam apa jua waktu dan keadaan aku mendoakan saudara teguh iman (sekali lagi maaf dipinta). Sampai bertemu di lain waktu. Was-salamu 'alaykum warahmatullahi wabarakatuh. Wallahu a'lamu bis-sawab.

Tiada ulasan: