Waktu Salat

Ahad, 24 Ogos 2008

Puisi Pilihan Sempena Merdeka

Surat Wasiat

I
Bangsaku, baju sejarah telah koyak
bulan sahsiah sudah terbelah
tengkolok dirobek tikus-tikus hutan
destar disalut lumpur likat pekat
keris panjang berkarat di muzium tua
Mak Sirandang tujuh kali papa
Jebat menggenggam Taming Sari
menikam-nikam bayangnya sendiri
Bendahari tujuh kali geruh
Melaka hilang hikmah, hilang paruh
baju sejarah telah koyak
bulan sahsiah terbelah sudah
roh kembali lagi, dari
perbenturan langit dan bumi.

II
Bangsaku, tatang Melayu, julang Malaysia
lahirkan seribu Ibnu Khaldun, al-Ghazali, al-Farabi
gelora-menggelora al-Muqaddimah, ombak-mengombak
Ihya' Ulum ul-Din, gelombang-menggelombang Madinatul Fadhilah
Kekasih melambai membelai, bertemu
Tasawwur ilmu dalam tauhid Satu. Camar tangkas, kuda putih mujahid
memukul penjajah. Di laboratorium Perdana
racun menjadi madu.

Ah, betapa pesona, betapa musibah sekalipun
benamkan dalam-dalam titik-bengek prasangka.
"Ular menyusur akar takkan hilang bisanya!"
Antara selisih dan selasih. Al-'Afwun dalam kilau Asma' ul-Husna.
Bangsaku, yang utama Kasih dan Cinta.
Lapangkan dadamu dengan hujah jujur
"Beda butir dan fikir mujur, hikmahnya berjalur.
Seni bestari alam rohani menghablur.
Ulama-hukama hargai dengan luhur.
Pewaris Nabi-nabi bak bintang di langit bertabur!"
Muhasabah al-Khattab muhasabah cemerlang
sedia diranggas kilau mata pedang
andai menyeleweng salah laku dan sumbang.

Pacu langkahmu ke makam Mahabbah, ya Salikin
demi cinta perkasa, hanya Dia yang 'Ariffin
pasrah dengan ikhtiar, gigih dalam sabar, sederhana muktabar
badai mencabar. Taufan menggegar.
menerjang bagai Singa Allah
baju Sejarah Melayu ditatah
benang emas zamrud baharu
di bawah lindung payung Islami. Gemerlap bersayap iman.
Kemilau dalam cahaya Ihsan.
Bangkitlah wahai seribu pentafsir. Bangunlah seribu pemikir
kalian kandil mengenal hak dan batil. Kebenaran tak mungkir
Tamadun alaf, awas liku pancaroba, waspada tipu cacamarba.

Hubaya, karang tajam di dasar laut. Hubaya. Taufan mencabar
ganas. Badai menggegar buas. Kapal nakhoda sombong
terhempas. Bangsaku, ubati neurosis bangsa saraf pesimisme
memformula Melayu berjiwa besar
mempertajam budi dan akal. Cekal dan tawakal
menyatu multisiber-tekno-tinggi. Wibawa, filsafat, rohani
hukum dan pedagogi. Takwa pakaian diri. Degup jantung
peribadi utuh, duniawi-ukhrawi, merenangi
cakerawala demi cakerawala
dimensi demi dimensi, membangun tamadun
insan madani. Jenjang-jenjang persatuan ummah
besar dalam wahdah
pijar dalam syahadah!

Kuala Lumpur,
Ogos 20

Kemala
Ziarah Tanah Kudup, 2006.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

3 ulasan:

kembara_1990 berkata...

huh aku takde anTOlogi kat sini nak rujuk huhuhu

fareez fadzil... berkata...

ku ambil masa untuk hadam puisi2 ini~
:P

Harithmkt90 berkata...

Salam...alhamdulillah..Syukran atas nasihat yang membina.pengharapan kepada setiap pembetulan atas segala kekoyakan yang menhinakan penglihatan
amat dialu-alukan dan didahului dengan kalam syukran jiddan...